SINAR DI PAGI AIDILFITRI

KARYA: NORGADIS LABUAN

Bulan ramadhan ini genaplah sudah setahun ayahku meninggal dunia. Namun begitu, setibanya bulan mulia ini sudah pasti akan mengundang kesedihan bagi keluargaku. Kenangan kepergian ayah masih mekar dihati kami.

Kematian ayah telah mengubah cara hidup keluarga kami. Ibulah yang bersusah payah mencari nafkah untuk keluarga. Aku pernah menyuarakan kepada ibu untuk berhenti sekolah dan mencari kerja saja, tapi ibu tidak mengizinkan. Bagi ibu pelajaran itu penting.

Malang sungguh nasibku dan adik-adik. Kepedihan pemergian ayah belum lagi hapus dilubuk hati kami, kini ibu pula mengikuti jejak ayah untuk pergi jauh dan tidak akan kembali lagi. Semua ini berlaku pada bulan ramadhan.

Nampaknya ramadhan benar-benar telah mengubah jalan hidup kami. Samada suka atau tidak, aku dan adik-adik terpaksa juga mengharunginya.

“Bagaimanakah aku akan terus hidup bersama adik –adik, sedangkan wang simpan peninggalan ibu sudah habis untuk mengurus pengkebumiannya,” aku menangis sendiri. Aku menangisi nasibku dan nasib adik-adik ku yang baru berusia empat dan lapan tahun.

“Kak Long, Angah nak baju baru untuk raya, kawan Angah semua dah beli,” lembut suara adikku itu bagai petir yang menyambar jantung hatiku. Aku tidak segera menjawab kata-katanya, melainkan airmataku saja yang semakin deras mengalir.

“Adik pun nak baju baru kak Long, Adik nak kasut baru juga, kak Long jangan lupa belikan untuk Adik ya,” aku segera memeluk adik perempuanku yang bongsu itu. Apa yang harus kulakukan, apalah dayaku mengahadapi masalah sebesar ini. Aku yang baru menjejakan kaki ke tingkatan tiga nampaknya terpaksa berhenti sekolah sahaja untuk terus menjaga adik-adikku yang masih kecil.

Aku bertanggungjawab melindungi adik-adikku dari hujan dan panas. Bagaimanakah caranya dan bagaimanakan aku harus memulakan penghidupan yang serba baru ini. Kalau kejadian ini berlaku di kampung dan bukannya di sini, tentu ada keluarga ibu atau keluarga ayah tempat mengadu. Tapi di sini lain. Kami tiada keluarga di sini. Hanya jiran-jiran yang berhati mulia saja yang mengambil berat akan nasib kami tiga beradik. Tapi sampai bilakan mereka akan terus membantu?

Menguruskan Adik dan Angah bukanlah satu perkara yang mudah bagi diriku. Adik memerlukan susu untuk diminumnya. Manakala Angah yang baru masuk tahun dua di sekolah rendah memerlukan wang untuk membeli keperluan sekolah.

“Ah! dari mana aku harus mendapatkan wang, adik perlukan susu, Angah perlukan buku sekolah, dan hari raya pula, oh tuhan…” aku menangis. Penghujung ramadhan sudah terasa, pasti bulan syawal pula yang akan menyambut. Aku masih terbayang keriangan Adik dan Angah di pagi aidilfitri tahun yang lalu. Meskipun ayah telah tiada namun ibu masih mampu menghiburkan kami.

“Mampukah aku mengganti tempat ibu untuk menghibur Adik dan Angah?” aku mengeluh lagi. Terasa berat dugaan yang kutanggung ini.

“Tifah, biarlah adik-adik tinggal dengan makcik, Tifah boleh cari kerja dan adik-adik akan makcik anggap seperti anak makcik sendiri,” suara itu bagai baru terngiang di telingaku. Berdosakah aku kerana tidak menerima cadangan itu? Salahkah aku?

“Adik tidak mahu tinggal dengan makcik, Adik tidak mahu,” Adik menangis dipangkuanku ketika itu.

“Angah tidak mahu tinggal dengan makcik, Angah nak tinggal dengan kak Long juga, biar pun apa yang terjadi, Angah tetap tinggal dengan Kak Long. Biarlah Angah tak ada baju raya, Angah tetap nak tinggal dengan kak long juga,” Adik dan Angah menangis. Aku juga turut menangis. Menangisi sesuatu yang mungkin mereka masih belum mengerti.

Bukan niatku menolak bantuan yang mulia dan ikhlas dari makcik Timah, tapi aku sendiri sebenarnya tidak mampu berpisah dengan adik-adikku. Lagipun makcik Timah mempunyai ramai anak, sedangkan Pak Mail hanya berkerja sebagai buruh kasar. Tentu kehadiran adik-adik akan menambah beban kepada keluarga mereka.

Kali ini aku terpaksa menjual emas peninggalan dari arwah ibu untuk menyambung kehidupan kami bertiga, tapi pada satu saat pasti tiada apa-apa yang dapat kujual lagi untuk menyara kehidupan kami.

Sedar tak sedar akhirnya malam syawal sudah pun tiba. Sauasana aidilfitri sudah terasa. Lampu-lampu pelita tanah menyinari ruamh jiran tetangga. Hanya rumah kami saja yang tidak bersinar menyambut aidilfitri tahun ini.

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul lima pagi. Sebentar lagi mentari syawal akan bersinar. Aku sebenarnya masih belum terlena sejak semalam. Setibanya waktu subuh aku menunaikan perintah Allah untuk bersolat. Air mataku bercucuran apabila aku berdoa agar roh orang tuaku dikurniakan rahmat dan aku juga berdoa semoga ada sinar di pagi aidilfitri ini.

Kulihat adik-adik masih lagi terlena. Semoga mereka bermimpi sesuatu yang indah-indah. Aku sepatutnya tidak terus-terusan melayani perasaan hibaku. Aku perlu membina semangat baru. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk mengemas rumah yang selama peninggalan ibu tidak pernahku pedulikan.

Nampaknya tiada yang istemewa kusediakan untuk menyambut aidilfitri tahun ini. Baju-baju raya tahun lepas masih cantik untuk dipakai.

“Makanan apa yang nak kuhidangankan pagi ini,” nampaknya jam dinding sudah menunjukkan pukul enam setengah pagi. Satu makanan pun belum sedia untuk ku hidangankan.

Tiba-tiba kedengaran bunyi kereta berhenti dihalaman rumah. Aku meluru ke pintu. Aku berdebar-debar ingin tahu siapa yang berkunjung di pagi syawal ini. Ah! tercegat seorang pemuda dihadapan rumah. Melihat raut wajahnya benar-benar mengimbau kenangan lalu.

“Latif tak setuju ibu kahwin lagi. Kalau ibu kahwin juga, Latif akan tinggalkan rumah ini, Latif tak akan kembali lagi ibu ,” kata-kata abang Latif benar-benar dikotakannya. Abang Latif meninggalkan rumah setelah ibu berkahwin dengan ayah. Walaupun ayah adalah ayah tiri, tapi aku menganggapnya seperti ayah kusendiri. Ayah tiriku menyayangiku lebih dari ayah kandungku sendiri yang telah meninggalkan kami sewaktu aku masih kecil. Kata ibu ayah menceraikannya kerana ayah mahu berkahwin baru.

“ Ini Latifah ke?” Lamunanku terhenti.

“ Tifah tak kenal abang lagi. Ini abang Latif. Abang datang nak bawa Tifah dan adik-adik tinggal bersama abang,” abang Latif memelukku. Aku membalas pelukannya.

“Abang, abang benar-benar membawa sinar di pagi aidifitri ini,” aku menangis keriangan.




Tersiar di Radio Malaysia Labuan sempena rancangan Hari Raya Aidilfitri
09.01.1999

Tiada ulasan: