PERJALANAN

KARYA: NORGADIS LABUAN

Aku mengeluh. Aku segera mencapai kertas tisu untuk mengesat peluh yang sejak tadi mengalir. Aku tertinjau-tinjau. Keadaan sebegini memang amat membosankan bagiku. Aku merungut-rungut sendiri. Saat-saat aku keletihan menunaikan suruhan tuhan, ada saja yang meruntuhkan imanku.

“Syukur… distinasi yang di tuju sudah pun hampir tiba,” aku bermonolog. Kelihatan memang ramai sekali pengunjung di Tapak Jualan Ramadhan. Ada orang yang kecil. Ada orang yang besar. Ada orang yang muda dan ada juga orang yang kelihatan agak tua raut wajahnya.

Tentang warna kulit, jelas sekali si pengunjung bukan saja dari golongan bumiputera. Ada yang berbangsa cina. Ada yang berbangsa India. Ada yang berbangsa Inggeris. Ada juga beberapa suku kaum yang lain. Itu sudah menjadi perkara biasa bagiku.

Setiba saja aku di Tapak Jualan Ramadhan, aku bergegas keluar dari kereta proton sagaku. Aku mencari makanan kegemaranku dari satu gerai ke satu gerai. Namun makanan kegemaranku tidak juga kutemui. Aku mengeluh. Aku mengeluh buat yang entah keberapa kali. Walaupun sinar mentari tidak sekuat tengahari tadi, namun bahangnya masih terasa olehku. Aku terus mencari-cari kuih kegemaranku itu tanpa putus asa. Setelah semua gerai kulewati, fahamlah aku bahawa kuih kegemaranku itu telah habis dijual.

“Kempunanlah aku hari ini. Sebiji pulut panggang pun tak ada, memang nasib aku…” aku kesal sekali waktu itu. Dengan rasa hampa aku terus meninggalkan Tapak Jualan Ramadhan dengan kereta putihku.

Aku menggunakan Jalan Merpati untuk menuju ke rumahku. Aku memang suka melalui jalan itu kerana tidak banyak kereta yang lalu dijalan sempit itu. Namun waktu diambang maghrib begini kadang kala menyeramkan juga. Maklumlah, jalan tersebut tidak jauh dari tanah perkuburan. Pernah juga orang mendengar bermacam-macam bunyi dari tanah perkuburan tersebut. Mungkin itulah penyebab utama orang tidak suka melalui Jalan Merpati.

Tiba-tiba kedengaran satu bunyi yang amat kuat. Aku lupa diri seketika. Setelah aku sedar, kudapati sebuah kereta berwarna biru telah bertembung dengan sebuah kereta proton saga putih. Proton saga berwarna putih itu amat menarik perhatianku. Aku menghampiri kereta tersebut.

“Aku rasa seperti pernah melihat kereta ini, tapi di mana ya?” aku semakin tertarik untuk terus mengenali pemilik kereta tersebut. Aku mendekati kereta putih tersebut dan sekaligus melihat pemilik kereta tersebut.

“Ya Allah!” aku terkejut. Aku terkejut yang amat sangat. Aku tidak sangka. Aku tidak sangka sama sekali.

“Ah! Bermimpikah aku?” aku tidak mengerti. Aku memang tidak mengerti apakah sebenarnya yang berlaku.

Kulihat dia berlumuran darah. Namun wajahnya masih jelas kukenali. Kulihat rambut
panjangnya menutupi separuh wajahnya. Namun wajahnya masih juga jelas kukenali. Apakah aku masih silap. Silap dengan pandangan mataku sendiri. Kulihat pemilik kereta biru itu keluar dari perut keretanya. Ah! Aku juga masih mengenalinya.

“Razlan”. Itulah nama pemilik kereta biru tersebut. Dia adalah sahabat yang paling rapat denganku dulu sebelum aku bertunang dengan Afik. Aku benar-benar tidak mengerti, apakah sebenarnya yang berlaku.

Razlan terus menghampiri dia yang berada di dalam perut kereta putih itu tanpa memperdulikan akan kehadiranku. Aku bagai tidak kelihatan baginya. Atau aku memang tidak kelihatan sebenarnya.

“Mungkin Razlan mahu menyelamatkan dia,” bisik hatiku. Razlan mengeluarkan dia dari perut kereta putih dan meletakannya di tepi jalan dengan begitu kasar sekali. Apa tujuan Razlan? Apa maksud Razlan? Kenapa Razlan tidak menghantar dia ke hospital atau ke klinik? Aku memang tidak mengerti sebenarnya.

Tanpa membuang masa, Razlan terus mengoyak-ngoyak pakaian dia yang tidak sedarkan diri. Kau memang kejam Razlan. Kulihat Razlan bagaikan harimau yang mahu membaham
mangsanya.

“Jangan kau lakukan itu Razlan… jangan kau lakukan itu Razlan…” aku merayu-merayu. Namun rayuanku langsung tidak diindahkan olehnya. Razlan terus mengoyakkan pakaian dia yang tidak berdaya itu sehingga bagaikan anak baru lahir yang diselimuti darah merah.

Aku memekik meminta tolong, namun tiada seorang pun yang mendengarkannya. Aku takut. Aku takut dengan apa yang kulihat sebenarnya.

“Razlan… jangan kau lakukan itu Razlan. Tolonglah Razlan. Razlan… tolonglah,” aku menangis. Aku menangis sekuat-kuat hatiku. Namun tiada setitik air mata pun yang kurasa. Aku menjerit sekuat-kuatnya. Namun tiada sedikit pun terngiang di cuping telinga manusia.

“Sampai hati kau menodai dia yang tidak berdaya Razlan. Kau memang kejam. Kau memang kejam Razlan. Aku tidak akan melupakan peristiwa ini. Satu hari kelak, kau juga akan menerima balasan dari Allah.” Aku terus menangis tanpa berhenti. Razlan yang kulihat hari ini bukan seperti Razlan yang pernah kukenali dulu.

Razlan sahabat yang baik. Dia sentiasa mengambil berat terhadap diriku. Kadang-kala aku terasa bahawa aku bukan dilayani sebagai seorang sahabat. Aku terasa aku bagai seorang kekasih apabila aku berada disampingnya. Aku memang tidak mengerti apakah yang tersirat dihati Razlan ketika itu.

Pernah satu hari Razlan mencurahkan rasa hatinya terhadap diriku. Bukan aku sengaja menolak cintanya, tapi aku tidak menerimanya kerana antara aku dan kekasihku dulu Azmi belum ada kata putus, walaupun antara aku dan Azmi tidak mungkin akan bersatu.

Mungkin kerana kejujuranku menyebabkan hatinya terluka dan akhirnya Razlan tidak pernah bertanya lagi tentang cinta, walaupun dia tahu aku telah berpisah dengan Azmi. Atau pun mungkin kerana dia telah mempunyai kekasih. Atau Norela jiran sebelah rumahnya itu memang kekasihnya. Tapi kenapa dia terus melayaniku seperti seorang kekasih? Ah! Aku memang tidak mengerti dengan perasaan Razlan. Dan apakah motif utamanya melayaniku seperti itu.

Tapi, Razlan yang kupandang didepan mataku ini sudah berubah. Razlan sudah menjadi buas. Entah setan mana yang telah merasuknya sehingga Razlan sanggup melakukan perkara terkutuk itu terhadap dia yang tidak berdaya.

Aku terlalu sedih melihat keadaan dia. Matikah dia? Atau hidupkah dia? Kalau hidup, ada harapankah dia untuk terus hidup? Aku kecewa.

Apa saja yang diperlakukan oleh Razlan terhadap tubuhnya langsung tidak dihiraukannya. Andainya dia sedar tentu dia tidak membiarkan dirinya diperlakukan begitu rupa. Andainya dia berdaya tentu dia tidak rela menerima nasib seburuk itu. Oh! Akukah yang tidak berdaya sebenarnya?

Aku benar-benar tidak berdaya. Aku malu pada diriku sendiri. Aku tidak ingin melihat dia diperlakukan sehina itu. Apakah aku sebenarnya telah kehilangan diri? Atau aku sendiri yang meninggalkan diriku sendiri.

“Maafkan aku, aku tidak sanggup terus melihat kau diperlakukan sehina itu oleh Razlan. Maafkan aku, aku terpaksa meninggalkanmu. Maafkan aku, kerana mungkin kau akan mengatakan aku sekejam Razlan. Tapi aku tidak berdaya lagi sahabatku. Selamat tinggal,” dengan perasaan terharu aku terpaksa meninggalkan dia kesayanganku.

Aku berlari sekuat hatiku. Namun kakiku tidak mencecah bumi. Aku terbang tinggi melayang. Namun aku tidak mempunyai sayap sakti. Aku bukan seperti aku dulu. Aku dulu telah kutinggalkan bersama Razlan di Jalan Merpati. Apakah aku sekarang adalah diriku yang sebenarnya?

Aku tidak tahu ke manakah harus kutuju. Andainya aku pulang ke rumah, tiada sesiapa yang mengetahui akan kehadiranku. Andainya aku meminta tolong, tiada siapa juga akan mengindahkan kata-kata ku.

“Cahaya!” aku terpegun seketika. Cahaya itu amat indah sekali, bagaikan pernah aku melihatnya. Tapi di manakah sebenarnya?

Tiba-tiba aku mendengar satu suara. Satu suara yang pernah kudengari. Tapi aku lupa bilakah aku mendengar buat pertama kalinya. Suara itu terlalu merdu. Suara itu terlalu nyaman. Tetapi suara itu juga cukup tegas mengingatkan aku pada janji yang pernah kulafaskan satu ketika dulu.

Bilakah aku melafaskan janjiku itu. Oh! Aku lupa sendiri. Tapi aku masih ingat bahawa aku pernah mendengar suara ghaib itu. Tapi aku masih ingat bahawa aku pernah melafaskan sebuah janji satu ketika dulu.

Pada waktu itu aku mendengar satu suara yang sungguh aneh bunyinya. Pada waktu itu aku mendengar satu suara yang sungguh ganjil bunyinya. Namun begitu aku cukup mengerti akan maksudnya. Namun begitu aku cukup faham akan ertinya. Lantas kupegang janjiku. Lalu kugengam tanganku. Umpama satu taruhan yang amat tinggi nilainya.

Disaat-saat aku mengenangkan kembali tentang sebuah janji yang kulafaskan satu ketika dulu, tiba-tiba aku dikejutkan oleh sesuatu. Sesuatu yang menyerupai aku. Apakah aku berada di depanku sendiri. Atau aku sedang memandang sebuah cermin yang agak besar mungkin. Fikiranku semakin bercelaru dibuatnya.

“Siapakah engkau?” aku kehairanan. Dia tersenyum kepadaku.

“Aku adalah kau dan aku juga tuhanmu, ikutlah aku,nescaya kau akan berbahagia sepanjang hidupmu,” aku menjadi panik dibuatnya. Dia yang berwajah aku memujukku untuk terus mengikutnya. Aku memerhatikannya. Dia benar-benar berwajah aku. Kelihatan sinar matanya tenang sekali. Senyumannya juga manis sekali. Tidak seperti aku yang begolak dengan perasaanku sendiri. Siapakah dia yang berwajah aku sebenarnya?

“Usahlah kau banyak berfikir, ikutlah aku, aku tuhanmu,” tiba-tiba mulutku bagai mahu bergerak. Aku hanya mampu menurutnya.

“Tidak! Kau bukan tuhanku, Allah tuhanku yang esa,” aku hairan dengan apa yang
kukata sendiri. Apa yang amat menghairankan lagi, apabila dia yang berwajah aku tiba-tiba hancur tidak bertanda selepas aku berkata-kata. Mengertilah aku bahawa dia yang berwajah aku adalah syaitan semata-mata.

Aku menjelangak ke langit. Kelihatan langit membiru lembut. Tiada kelihatan awan kelabu bergerak diarak angin. Aku memandang ke depanku. Kelihatannya membiru bagaikan langit membiru lembut. Tiada sebatang pohon pun yang kelihatan. Di kiri kanan dan belakangku juga membiru bagaikan langit membiru lembut.

Aku terasing dari duniaku sendiri. Ke mana harusku tuju? Sana sini kelihatannya sama saja. Aku resah dibuatnya. Aku bagai kehilangan ketika itu. Aku terharu. Aku tidak berdaya menahan tangisku. Aku menangkupkan mukaku. Aku terasa bertapa kerdilnya diriku.

“Oh tuhan! Ampunilah segala dosaku,” tangisanku semakin kuat. Aku memang tidak berdaya menahan diriku sendiri dari terus menangis. Tangisan itu kurasa bagai ada satu kenikmatan yang sukar diungkapkan.

“Sudahlah nak, jangan menangis lagi, ikutlah kami, kami sudah senang sekarang.” Aku segera mengangkat kepala lalu memandang si pemilik suara itu. Agak lama juga aku memandang si pemilik suara itu. Kelihatan matanya bersinar jernih, kelihatan juga bibirnya tersenyum mesra.

Aku terdiam seketika. Ketika itu juga aku terasa air mataku menuruni pipi gebuku. Wajah itu tidak pernah hilang dari dalam kota ingatanku. Wajah itu adalah wajah yang kurindui sejak dua tahun yang lalu. Wajah itu adalah wajah kedua orang tua ku yang telah meninggal dunia.

“Tak mungkin! Tak mungkin!”

Wajah itu masih lagi merayu dan memujukku untuk terus mengikuti mereka. Wajah itu masih lagi tersenyum mesra. Dan wajah itu juga masih lagi tenang setenang tenangnya.

“Maafkan aku ibu, ayah, aku belum bersedia untuk pergi bersamamu, masih banyak lagi yang harusku selesaikan, masih banyak lagi amalan yang belumku laksanakan. Iinkanlah anakmu ini menunaikan janji sebelum kalian membawakku pergi,” aku menangis.

Tiba-tiba wajah itu hilang. Aku terus meneruskan perjalananku. Aku bertekad untuk mencari dia yang ku tinggalkan. Setibaku di jalan Merpati, kulihat dia telah tiada. Begitu juga dengan kereta proton saga putih serta kereta biru milik Razlan. Semuanya sudah tiada.

Aku berjalan lagi. Sehingga aku sampai ke sebuah tempat. Di sana aku bertemu dia. Dia yang masih terbaring di atas katil tanpa sedarkan diri. Kelihatan juga Pak Long, Mak Ngah dan saudaraku yang lainnya disisi dia yang diam dan kaku itu.

“Pak Long, Mak Ngah, semuanya ada di sini….?” Dia sedar dan aku telah kembali kepadanya.


TAMAT


(Jendela Sabah Ramadhan 1422 / Disember 2001)

Tiada ulasan: