SKRIP RUKUN NEGARA

TAJUK : RUKUN NEGARA
RANCANGAN : SUARA 1 MALAYSIA RTM LABUAN FM
SIARAN : HARI AHAD JAM 5.30 PETANG
PENULIS SKRIP : MASMAH MOHD ALI
NAMA PENA : NORGADIS LABUAN
PENERBIT : RAFIAH IBRAHIM

WATAK : CIKGU ROSLAN (40-an)
: CIKGU Mei Ling (30-an)
LOKASI : DI BILIK GURU
SINOPSIS : Perbincangan berkenaan Rukun Negara.

L/P : LAGU PENGENALAN
K/B : SUASANA DI BILIK GURU


1 C. ROSLAN : Pertama Kepercayaan Kepada Tuhan, kedua Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara, ketiga Keluhuran Perlembagaan, keempat Kedaulatan Undang-Undang, kelima Kesopanan Dan Kesusilaan.

2 C. Mei Ling : Buat apa tu cikgu Roslan? Menghafal Rukun Negara? Takkan tak hafal hehehe….

3 C. ROSLAN : Hish cikgu Mei Ling … Takkan saya tak hafal Rukun Negara. Kita suruh anak murid kita menghafal Rukun Negara, takkanlah kita sebagai pendidik pula yang tak hafal.

4 C. Mei Ling : Saya gurau saja cikgu, bukan apa, cikgu tu saya tengok serius sangat. Cikgu Roslan buat kajiankah tentang Rukun Negara?

5 C. ROSLAN : Begini cikgu Mei Ling, setiap hari isnin murid sekolah kita berkumpul dalam perhimpunan mingguan dan dalam perhimpunan itu ada terdapat ikrar Rukun Negara.

6 C. Mei Ling : Jadi… Apa pula masalahnya?

7 C. ROSLAN : Tadi di kelas saya mengajar bab Rukun Negara. Semua pelajar kelas tiga Mawar hafal dengan Rukun Negara ni.

8 C. Mei Ling : Kalau begitu baguslah, bukankah itu yang diharap-harapkan oleh kepala sekolah. Semua pelajar SMK Mutiara hafal 5 prinsip Rukun Negara.

9 C. ROSLAN : Betul tu cikgu… tapi bukan saja hafal 5 prinsip Rukun Negara tetapi perlu juga mengetahui Perlembagaannya dan undang-undang dalam prinsip Rukun Negara itu sendiri.

10 C. Mei Ling : Ooh! Itu yang cikgu Roslan gusarkan sedari tadi tu ya. Sampai saya masuk ke dalam bilik guru ini pun cikgu tak sedar.

11 C. ROSLAN : Maafkan saya cikgu Mei Ling, saya memang tak perasan cikgu masuk tadi.

12 C. Mei Ling : Tak apalah cikgu Roslan, saya pun kadang-kadang begitu, bila memikirkan masalah pelajar, kawan tegur pun saya tak dengar hehehe…

13 C. ROSLAN : Dengar-dengar cikgu akan dihantar kursus minggu depan. Cikgu kena kursus apa pula kali ini?

14 C. Mei Ling : Kursus IT cikgu. Emm… sekarang kebanyakkan guna IT, kalau kita tak belajar, nanti jauh pula kita ketinggalan.

15 C. ROSLAN : Betul tu cikgu Mei Ling. Kita perlu belajar semua tu, sekurang-kurangnya dapat juga kita salurkan pengetahuan kita kepada pelajar-pelajar di sini.

16 C. Mei Ling : Kalau kita celik IT, senang nak cari bahan untuk mengajar.

17 C. ROSLAN : Betul tu cikgu. Saya baru saja dapatkan bahan berkenaan Rukun Negara di internet tadi.

18 C. Mei Ling : Betulkah? Eh! Kalau begitu, bolehlah kongsikan dengan saya berkenaan Rukun Negara tu. Bukan apa, banyak yang kita tahu, banyak lagi yang kita tidak tahu.

19 C. ROSLAN : Boleh. Kalau cikgu Mei Ling nak kongsi bahan yang saya dapat ini, elok juga, sekurang-kurangnya ada juga kawan berbincang.

20 C. Mei Ling : Berkenaan Rukun Negara ini, saya ada terbaca bahawa kebanyakan rakyat Malaysia masih keliru dengan maksud sebenar Rukun Negara.

21 C. ROSLAN : Itu yang saya katakan tadi, pelajar kita belum faham makna disebalik Rukun Negara yang mereka baca setiap hari isnin sewaktu perhimpunan tu.

22 C. Mei Ling : Bukan saja pelajar yang tak faham, malah kita dikalangan pendidik pun ada juga yang kurang faham berkenaan 5 prinsip Rukun Negara ni. Kalau hanya setakat hafal, itu bukan bererti kita faham maksud pelembagaan dan undang-undang yang terdapat didalam Rukun Negara.

23 C. ROSLAN : Betul tu cikgu Mei Ling. Ini ada petikan yang saya ambil dari internet tadi.

24 C. Mei Ling : Cuba cikgu Roslan bacakan. Teringin pula saya nak mendengarnya.

25 C. ROSLAN : Rukun negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia, ia telah dibentuk 31Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dibawah teraju Tun Abdul Razak iaitu setahun selepas terjadinya 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman Negara Malaysia.

26 C. Mei Ling : 13 Mei 1969, pergaduhan kaum tukan. Ngeri kalau diingat peristiwa tu.

27 C. ROSLAN : Betul tu cikgu. Ngeri kalau diingat, harap-harap janganlah berlaku lagi.

28 C. Mei Ling : Apa lagi yang tertulis tu cikgu Roslan? Nampak macam banyak bahan tu.

29 C. ROSLAN : Emm… Kerajaan Malaysia memperkasa Rukun Negara dengan bermacam cara termasuk meletakkan ungkapan Rukun Negara dibelakang buku tulis, depan pejabat-pejabat kerajaan, iklan-iklan di jalanraya sehingga menghasilkan sebuah lagu Rukun Negara yang berkumandang diradio dan juga televisyen.

30 C. Mei Ling : Banyak yang telah kerajan lakukan tetapi sejauh mana masyarakat faham. Masih menjadi persoalan kepada kita selaku sebahagian anggota masyarakat ya tak?

31 C. ROSLAN : Itulah masalahnya. Masih ramai yang tak faham berkenaan Rukun Negara.

32 C. Mei Ling : Masyarakat yang mempunyai idealisme dan bersikap kritikal terutama dari golongan pendidik, mahasiswa sehingga kepada kepimpinan masyarakat dan negara perlulah memainkan peranan yang lebih jitu untuk memperkasa Rukun Negara.

33 C. ROSLAN : Sebenarnya penerangan terhadap Rukun Negara ini mampu memberikan impak yang cukup besar kepada Negara.

34 C. Mei Ling : Betul tu cikgu.

35 C. ROSLAN : Cuba kita lihat rukun yang pertama, Kepercayaan Kepada Tuhan. Pasti sahaja masyarakat yang memahahami rukun pertama ini tidak akan melanggar batasan agama dan pastinya tidak akan terjadi kesesatan yang berganda-ganda seperti yang berlaku pada masa sekarang. Contohnya di Jabatan agama Islam. Kes Ayah Pin, kes Rasul Melayu, kes anti hadis, Begitu juga dengan kes-kes moral, kes perjudian, pelacuran, lewat, sumbang mahram dan penzinaan. Ini secara tidak langsung akan menggugat sistem kestabilan masyarakat secara total.

36 C. Mei Ling : Betul tu cikgu. Bukan saja dalam islam, malah agama lain juga ada yang mengamalkan amalan sesat. Bagaimana rukun kedua cikgu?

37 C. ROSLAN : Rukun kedua pula Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara. Dewasa ini, kalau ditanya pada mana-mana masyarakat dari kanak-kanak hingga ke orang dewasa, langsung tidak tahu dimana daulatnya Raja. Perkara ini amat mengecewakan kita. Kedaulatan itu sebenarnya terletak kepada Yang Di Pertuan Agung dan sultan pemerintah tertinggi negara serta tidak boleh dicabar dan rakyat Malaysia patut setia dengan Baginda. Masyarakat yang memahami isu ini perlu peka untuk menjelaskan perkara ini secara terperinci agar tidak ada yang berani mencabar kedaulatan raja dan negara, dengan itu secara tidak langsung pasti tidak ada rusuhan, atau apa-apa perkara yang mampu menjatuhkan imej Negara Malaysia dimata dunia.

38 C. Mei Ling : Dengan itu juga moto satu Malaysia dapat dijiwai oleh rakyat sepenuhnya. Elok juga ada perbincangan seperti ini, sekurang-kurangnya dapat menambah baikkan mutu pembelajaran yang akan kita sampaikan kepada pelajar. Emm... Bagaimana pula dengan rukun yang ketiga cikgu Roslan?

39 C. ROSLAN : Rukun yang ketiga, Keluhuran Perlembagaan. Ini sering disalah ertikan, ada yang tidak faham tentang apa itu perlembagaan, dan penjelasan ini perlulah diterap dari peringkat sekolah bahawa negara Malaysia yang kita cintai ini mempunyai perlembagaan yang mencorakkan pemerintahan negara.

40 C. Mei Ling : Saya ada terbaca, menurut Prof. Dato’ Dr. Monir Yaacob bekas pensyarah di Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Universiti Malaya menyatakan, amat wajar supaya perlembagaan persekutuan ini diketahui oleh masyarakat umum supaya ianya jelas dan difahami dengan sempurna.

41 C. ROSLAN : Tun Mohd Saleh Abbas bekas Hakim Negara dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia pula ada memperjelaskan bahawa Perlembagaan merupakan elemen penting pemerintahan di Malaysia kerana ianya merupakan undang-undang tertinggi Negara dan juga menjelaskan hak-hak asasi rakyat.

42 C. Mei Ling : Ooh... Begitu rupanya. Nampaknya banyak juga yang saya belum tahu tentang Rukun Negara. Kalau hanya hafal, belum memadai untuk kita sebagai rakyat Malaysia. Bagaimana pula dengan Kedaulatan Undang-Undang cikgu Roslan?

43 C. ROSLAN : Kedaulatan Undang-Undang seringkali kita dengar di media elektronik dan media cetak yang mana ada sesetengah pihak yang berani mencabar undang-undang negara, dan bilangannya cukup ramai, jika kefahaman Rukun Negara yang keempat ini di tafsirkan dan diperjelaskan kepada masyarakat dengan terperinci, pasti ramai yang akur dan patuh pada undang-undang negara yang berdaulat.

44 C. Mei Ling : Menurut Prof. Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim dalam buku Sistem Undang-Undang Di Malaysia menyatakan undang-undang adalah wajib dipatuhi oleh rakyat. Hish! Banyak juga bahan yang cikgu Roslan dapat ya.

45 C. ROSLAN : Ini semua saya dapat dari internet. Dengan adanya dunia maya, ianya memudahkan kita mencari apa yang kita mahu. Tapi, kerjasama juga penting cikgu Alimah. Dengan adanya cikgu, dapat juga manambah pengetahuan saya yang kurang.

46 C. Mei Ling : Kitakan satu Malaysia, rakyat bersatu negara bertambah maju.

47 C. ROSLAN : Itulah untungnya kita tinggal di bumi Malaysia. Perpaduan berbagai kaum di sini amat ketara sekali. Walaupun berlainan bangsa dan agama, tapi kita masih boleh saling bantu membantu.

48 C. Mei Ling : Bagaimana pula rukun yang kelima. Kesopanan Dan Kesusilaan?

49 C. ROSLAN : Rukun yang terakhir, Kesopanan Dan Kesusilaan haruslah ditanamkan pada diri setiap masyarakat bukan hanya dibibir sahaja yang tahu menyebut tetapi perlulah mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Sikap negatif hendaklah dibuang dan sikap yang positif wajiblah diamalkan supaya pandangan dan penilaian masyarakat luar Malaysia terhadap kita sebagai sebuah masyarakat yang maju dari segi peradaban. Jika kesopanan dan kesusilaan diterapkan dari kecil maka tiadalah perkara negatif yang dilakukan seperti merokok dan meminum arak serta penculikan kanak-kanak, secara tidak langsung pastinya pihak Polis lebih mudah melaksanakan tanggungjawab mereka.

50 C. Mei Ling : Seharus dan sewajarnya Rukun Negara ini dijadikan pedoman yang patut ditanam oleh semua rakyat Malaysia agar kita menjadi masyarakat yang maju dan jitu.

51 C. ROSLAN : Itulah yang diharap-harapkan oleh kerajaan kita cikgu.

52 C. Mei Ling : Rukun Negara ini perlu difahamani seawal dari peringkat tadika, sekolah, ipt dan lapangan pekerjaan seterusnya merangkumi segenap lapisan masyarakat.

53 C. ROSLAN : Perkara paling penting adalah membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi dan juga mencipta suatu masyarakat yang adil dan kemakmuran. Dengan itu negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

54 C. Mei Ling : Nanti cikgu Roslan hantar email dengan saya tentang Rukun Negara tu ya.

53 C. ROSLAN : Boleh... Nanti saya emailkan.




TAMAT
Tersiar Di Labuan FM

3 ulasan:

noraini-osman.blogspot.com berkata...

Sdr Norgadis Labuah,

Tahniah, cerpen ini bagus. Saya ni Noraini Bt Osman, kalau ada waktu jangan lupa lawat2 laman blog saya ya, www.noraini-osman.blogspot.com

Ni saya buat yang baru lagi. Yang hari tu lupa paswod.

Norgadis Labuan berkata...

Salam Noraini Bt Osman.
Terima kasih sudi komen...

Anonymous berkata...

hai norgadis labuan...cerpen anda memang kreatif.tetapi bolehkah anda tolong memberi idea kepada saya tentang skrip sketsa rukun negara?