Selamat Hari Bapa

KARYA: NORGADIS LABUAN

Ayah yang kupanggil abah selama ini, merupakan seorang ketua dijabatannya. Walaupun beliau merupakan seorang ketua yang agak tegas, tetapi beliau sentiasa mengambil berat dan amat di hormati oleh pekerja bawahannya. Disebalik ketegasannya, abah merupakan seorang yang suka berjenaka. Malah dalam keluarga kami, kehadiran abah menceriakan lagi suasana. Tidak hairanlah jika kami digelar keluarga bahagia dan sempurna.

Kalau dibandingkan antara abah dan ibu yang kupanggil mama, aku lebih memilih abah. Walaupun aku anak perempuan, tetapi kemesraan abah lebih menyenangkanku. Kalau aku sakit demam, abahlah lebih dahulu memberiku ubat dibanding mama yang hanya berleter. Kalau aku ada masalah dalam pelajaran, abahlah yang lebih banyak memberi semangat dan tunjuk ajar.

Sekarang aku sudah dewasa dan mempunyai kerjaya sendiri. Setiap hari kalau aku pergi kerja, abah jugalah yang menghantar aku. Mungkin aku dikatakan anak manja, tapi pada hakikatnya, kebebasanku amat ketat dibandingkan rakan yang seusia denganku. Semuanya atas alasan demi menjaga keselamatan. Aku tidak mempunyai pilihan melainkan akur dengan keputusan keluarga.

Pada suatu hari, abah menghantar aku pergi ke tempat kerja seperti biasa. Pagi itu agak lain dari pagi-pagi sebelumnya. Abah senyap dan kemudian…

“Rasanya sampai sudah masanya untuk abah meluahkan sesuatu,” kata abah dengan nada yang serius ketika itu. Aku diam dan tidak berani berjenaka seperti selalu kerana abah benar-benar serius ketika itu. Abah masih lagi memandu keretanya dengan tenang tanpa berpaling kepadaku. Hatiku berkata-kata, apa sebenarnya yang ingin abah luahkan. Apakah aku sebenarnya hanyalah anak angkat? Oh tidak. Terlalu banyak persoalan yang bermain dalam kotak fikiranku.

“Abah tahu, Ayang anak yang baik, selalu menjaga makan dan pakai abah. Ayang anak yang hormatkan orang tua. Abah akan ingat itu semua, sampai bila-bila pun abah tak akan lupa. Abah tahu Ayang juga anak yang sabar, walaupun mama selalu marah dan pukul Ayang, tapi Ayang tetap sediakan sarapan dan makan untuk keluarga kita.” Aku tidak tahu kenapa abah berkata demikian. Sebak rasa hatiku mendengarnya. Air mataku mula bergenang dikelopak mata.

“Kenapa abah ni, abah ada masalah?” Kataku sambil menahan sebak didada.

“Ayang, abah tengok Ayang dah besar, abah rasa Ayang perlu belajar berdikari selepas ini. Abah tau ini bukan kesalahan Ayang, tapi abah tak mampu berbuat apa-apa, jika mama melarang Ayang pergi ke mana-mana melainkan tempat kerja, abah terpaksa akur dengan keputusannya, kalau tidak kami akan bergaduh lagi..

Sebenarnya selama dua puluh tahun abah sudah cuba bersabar dengan perangai mama. Mungkin waktu ini kesabaran abah dah habis. Abah rasa abah nak pindah dari sini, tinggallah kamu semua di sini. Abah nak membawa diri merawat luka hati abah yang dah lama terpendam. Abah ingin bersendirian. Ayang tak perlu risau tentang abah, abah boleh jaga diri abah sendiri. Abah dulu pun biasa hidup susah.”

“Kenapa abah cakap macam tu, apa salah Ayang sampai abah nak tinggalkan Ayang. Siapa lagi yang menyayangi Ayang kalau bukan abah. Kalau abah boleh bertahan selama dua puluh tahun, kenapa sekarang tidak.” Aku menutup mukaku dengan kedua belah tanganku. Air mata yang ingin jatuh sedari tadi telah pun membasahi baju kerjaku. Aku menangis dan menangis ketika itu. Aku tidak tahu bagaiman harusku memujuk abah agar pendiriannya berubah, aku tidak mahu abah meninggalkan kami.

“Ayang tak mengerti, mama tak hormat abah, mama selalu tengking abah. Mama selalu kata abah bodoh. Kadang abah balik dari kerja, mama tiada dirumah. Kalau abah tegur, mama akan marah abah balik. Itu pun abah boleh bersabar. Tapi bila adik juga tak hormat dengan abah, cakap kasar-kasar, tengking-tengking dengan abah. Kesabaran abah hilang. Bila abah marah adik balik, mama pula marahkan abah. Macam-macam yang mama kata tentang abah.

Tempohari adik bertumbuk dengan guru sekolahnya, lepas tu adik tumbuk anak polis pula sampai berdarah. Ini sampai kes polis, nasib baik adik dimaafkan. Tapi adik telah dibuang sekolah. Abah cuba merayu agar adik tidak dibuang sekolah demi masa depannya. Tapi abah tak dipandang. Semua guru tak memandang abah. Abah seperti tak wujud pada waktu itu. Dimana abah nak letak muka abah. Abah malu tapi abah tak peduli, demi masa depan adik abah usahakan juga.

Abah tak pernah putus asa, abah pergi ke sekolah lain dan merayu agar adik diambil sekolah di sana. Nasib adik baik, adik diterima atas dasar rasa persahabatan pengetua sekolah tu dengan abah. Abah gembira waktu itu.

Apa yang amat menyedihkan abah. Adik tak pernah berubah, adik bergaduh lagi dengan murid lain, malah mama selalu menyokongnya sehingga abah hanyalah sebagai tunggul kayu didalam rumah kita. Abah tersenyum selama ini bukan kerana keluarga kita keluarga bahagia seperti yang orang kata, tapi abah tersenyum hanyalah sekadar menutupi kelemahan diri.”

Sekarang adikku sudah menjadi seorang ayah, kelihatan keriangan diwajahnya melihat anak lelakinya yang baru lahir. Sempat juga dia meluahkan rasa kesalnya kepadaku atas keterlaluannya dimasa lalu. Aku tahu itulah luahan hatinya yang ikhlas.




Dedikasi Untuk Seseorang Bergelar Bapa
Selamat Hari Bapa
Jangan Sampai Terlambat Melahirkan Rasa Sayang Terhadap Seorang Ayah.


3 ulasan:

izzyzatt berkata...

sedihnya...

Anis Mohd berkata...

urm
kisah benar ke ni ?

Norgadis Labuan berkata...

Rekaan semata-mata...