KARAMAH

KARYA: NORGADIS LABUAN

Sudah dua puluh tahun aku hidup di sini. Aku hanya bertemankan makhluk seperti aku. Rupa yang sama. Bentuk yang sama dan gaya yang sama mungkin. Aku dan mereka yang seperti aku, hanya banyak berehat. Tiada perkembangan baru. Aku bosan. Mereka bosan.

Dua minggu yang lalu, ada makhluk lain yang datang. Bentuk yang lain. Rupa yang lain dan gaya yang lain mungkin. Kenapa dia mempunyai ekor? Kenapa aku tidak. Ganjil juga dia. Dia memerhatikan aku dan mereka yang seperti aku.

Aku tertarik padanya. Aku jatuh cinta padanya. Aku ingin memilikinya. Mereka seperti aku juga tertarik padanya. Mereka seperti aku juga jatuh cinta padanya. Mereka seperti aku juga ingin memilikinya. Berjayakah aku menambat hatinya atau salah satu dari mereka seperti aku yang berjaya menambat hatinya.

Dalam masa yang agak singkat, dia memilih salah satu mereka yang seperti aku. Aku kecewa. Mereka seperti aku yang tidak terpilih juga kecewa. Tapi, aku tidak derita. Aku tidak merana dan aku juga tidak putus asa.

Mereka seperti aku yang tidak terpilih juga tidak derita. Mereka seperti aku yang tidak terpilih juga tidak merana. Mereka seperti aku yang tidak terpilih juga tidak berputus asa. Aku dan mereka yang seperti aku memang telah dididik penuh dengan kekuatan semangat.

Selama tiga minggu kulihat makhluk lain dan mereka seperti aku yang terpilih hidup bersama, kelihatannya cukup bahagia. Tapi, entah bencana apa yang melanda, kedua-duanya mati bersama. Kedua-duanya terkeluar bersama.

Aku kasihan melihatnya, aku simpati melihatnya. Mereka seperti aku juga kasihan melihatnya. Mereka seperti aku juga simpati melihatnya. Aku dan mereka seperti aku kadang kala menjadi takut. Takut-takut kalau terjadi perkara yang sama.

Aku bercita-cita tinggi. Aku ingin mempunyai kekasih yang setia. Aku ingin mempunyai kekasih yang berwibawa. Aku ingin mempunyai kekasih yang hebat. Aku ingin membina keujudan yang ketara. Aku mesti pastikan segala cita dan impian akan tercapai.

Dalam asyik aku berangan-angan, tiba-tiba aku didekati oleh mahluk lain yang serupa dengan mahluk yang pernah mencuri hatiku. Mahluk lain yang mempunyai gaya yang sama dengan mahluk yang pernah mencuri hatiku mungkin. Mahluk lain yang mempunyai cara yang sama dengan mahluk yang pernah mencuri hatiku mungkin. Juga mahluk lain yang mempunyai ekor yang sama dengan mahluk yang pernah mencuri hatiku. Aku jatuh cinta lagi buat kali yang kedua. Mereka yang seperti aku juga mempunyai perasaan yang sama.

Dia sungguh menggoda. Dia sungguh menawan. Dia sungguh memikat. Aku sungguh terpesona kepadanya. Aku sungguh terpikat kepadanya. Mereka yang seperti aku juga terpesona kepadanya. Mereka yang seperti aku juga terpikat kepadanya.

Mahluk lain yang mempunyai ekor itu merenungku seketika. Mahluk lain yang mempunyai ekor itu juga merenung mereka seperti aku seketika. Aku gelisah. Aku berdebar. Mereka seperti aku juga gelisah mungkin. Mereka seperti aku juga berdebar mungkin.

Makhluk lain itu bergerak-gerak. Lantas dengan pantas ia menciumku. Aku terkejut. Aku ingin berteriak tapi aku tidak mampu. Aku ingin melompat-lompat tapi aku tidak kuasa Aku ingin memeluk semua mereka seperti aku tapi aku tidak berdaya.

Apakah yang aku mampu? Apakah yang aku kuasa? Apakah yang aku berdaya? Aku hanya mampu berkata aku cukup bahagia. Aku hanya kuasa berkata aku bagai tidak percaya. Aku hanya terdaya berkata aku tidak sangka, dia akan memilih aku untuk menjadi kekasihnya.

Mereka seperti aku yang tidak terpilih kecewa lagi buat kali kedua. Tapi mereka yang seperti aku yang tidak terpilih tidak derita. Mereka yang seperti aku yang tidak terpilih juga tidak merana. Dan mereka yang seperti aku yang tidak terpilih juga tidak putus asa.

Mereka seperti aku yang tidak terpilih hanya tidak menduga bahawa aku akan terpilih. Terpilih untuk menjadi kekasih dan sebahagian hidup daripada mahluk yang mempunyai ekor itu. Aku seperti mereka yang tidak terpilih juga tidak menduga bahawa aku akan terpilih. Namun itu adalah kenyataan yang pasti.

Semua itu bagai mimpi. Semua itu bagai angan-angan. Semua itu bagai khayalan yang kureka-reka. Aku menanti sebuah pertemuan dalam masa yang agak lama. Kini penantian bagai hanya seketika cuma. Sungguh menakjubkan. Sungguh menghairankan.

Ah! Mengapa terdapat dua perasaan yang berbeza? Sedangkan sewaktu belum aku mempunyai kekasih, penantian adalah satu penyiksaan. Sehari bagai setahun lamanya. Kini penantian yang menyiksakan dulunya, bagaikan tidak kurasa sedikitpun.

Apakah mereka yang tidak terpilih juga terasa apa yang aku rasa jika mereka terpilih? Apakah mereka yang tidak terpilih juga mengatakan penantian hanya seketika cuma jika mereka terpilih? Atau hanya aku yang terasa.

Apakah mereka seperti aku yang tidak terpilih berpuas hati dengan keputusan ini? Apakah mereka yang seperti aku yang tidak terpilih tidak marah dengan keputusan ini? Apakah mereka seperti aku yang tidak terpilih tidak cemburu kepada diriku atas keputusan ini? Haruskah aku mempersoalkannya? Haruskah aku mempertimbangkannya? Atau… aku harus mementingkan diri dan citaku terlebih dahulu. Ah…! Biarkan mereka yang seperti aku yang tidak terpilih melayani perasaan mereka masing-masing. Aku perlu mencapai citaku.

Sesaat perkenalan aku dengan mahluk yang mempunyai ekor itu, aku sudah alfa akan diriku sendiri. Sesaat perrcintaan aku dengan mahluk yang mempunyai ekor itu, aku sudah lalai akan harianku. Sesaat bercumbu dengan mahluk yang mempunyai ekor itu aku sudah lupa akan kebiasaanku sendiri.

Aku dan mahluk yang mempunyai ekor itu telah berjanji akan sehidup semati bersama. Lantas mahluk yang mempunyai ekor itu mendakap tubuhku. Aku terasa ada keganjilan yang belum pernah kurasai. Aku terasa ada kenikmatan yang belum pernah kunikmati.

Aku bagai berenang-renang di lautan yang suci waktu itu. Aku bagai melayang-layang di langit cerah waktu itu. Aku bagai berjalan-jalan di padang emas waktu itu. Aku bagai menari-nari disinari cahaya yang indah waktu itu.

Kadang kala nyaman. Kadang kala panas. Kadang kala sejuk. Kadang kala aku bagai ada tiada. Kadang kala aku tidak tahu apa yang aku rasa. Aku sudah tidak kenal akan diriku sendiri.

Apakah ini sebuah kenikmatan? Sungguh benar aku tidak mengerti mengapa aku tiba-tiba merempuh ribut yang menggila. Apakah ini sungguh mengasyikkan? Sungguh benar aku tidak mengerti mengapa aku tiba-tiba terasa bahang api yang panas membara. Apakah ini sebuah keindahan? Sungguh benar aku tidak mengerti mengapa aku tiba-tiba dilanda bah yang mengganas. Apakah sebenarnya ini semua? Sungguh benar aku tidak mengerti mengapa aku tiba-tiba berada di lautan lumpur yang pekat.

Baru kusedar, segala kejadian demi kejadian ganjil yang kualami adalah sebuah penuntutan yang tidak kusedari. Baru kusedar, segala keganjilan demi keganjilan yang kualami adalah sebuah pelajaran yang tidak kusedari. Aku tidak menyangka bahawa aku sudah berubah sebenarnya. Apakah dia adalah diriku?

Tiba-tiba aku mendengar satu suara berkata sebelum sempat aku berkata-kata. Suara itu sungguh aneh bunyinya. Suara itu sungguh ganjil bunyinya. Tapi aku mengerti akan maksudnya. Tapi aku faham akan ertinya. Lantas kupegang janjiku. Lalu kugengam tanganku. Umpama satu taruhan yang amat tinggi nilanya.

Tiba-tiba aku mendengar satu degupan. Tiba-tiba aku terasa satu gerakan. Aku tidak percaya dengan apa yang aku rasa. Dan aku tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Lantas kugerakkan kakiku. Dia juga bergerak. Ku ulangi lagi perbuatanku itu. Dia juga mengulanginya. Percayalah aku bahawa dia adalah diriku.

Barulah aku mengerti kini, bahawa kekasihku telah bersatu sepenuhnya dengan diriku.. Barulah aku mengerti kini, bahawa kekasihku telah menjadi sebahagian diriku. Barulah aku mengerti kini, bahawa aku tidak serupa dengan rupaku dulunya. Barulah aku mengerti kini, bahawa aku tidak serupa dengan mereka yang seperti aku dulunya. Barulah aku mengerti kini, bahawa aku juga tidak serupa dengan mahluk yang pertama mencuri hatiku dulunya.

Setelah enam belas minggu aku dalam keujudan, aku terasa hidupku penuh dengan keriangan. Degupan yang kurasa bagai sebuah irama yang amat mengasyikkan. Namun mereka yang seperti aku dulunya masih tidak berubah. Mereka yang seperti aku dulunya masih dengan rupa yang sama. Mereka yang seperti aku dulunya hanya menyaksikan kejayaan yang terbina.

Dalam jangka masa yang agak singkat ini, aku sudah pandai makan. Tidakkah ini mengejutkan? Tidakkah ini menghairankan? Tentu ini amat mengejutkan bagi mereka yang seperti aku dulunya. Tentu ini menghairankan bagi mereka yang seperti aku dulunya.

Tapi ini adalah kenyataan yang amat nyata. Tapi ini adalah kemajuan yang amat nyata. Yang Nyata sekali, berat badanku semakin bertambah. Di kiri kanan bahuku tercipta kekuatan. Di kiri kanan pinggangku tercipta kehebatan. Aku juga mampu membuang air kecil. Dan aku telah mengalami berbagai pembaharuan. Pembaharuan yang dicita oleh mereka yang seperti aku dulunya mungkin. Pembaharuan yang diimpikan oleh mereka yang seperti aku dulunya mungkin.

Dalam waktu-waktu aku menjalani pembaharuan, terdapat banyak kali mahluk lain yang hadir. Mahluk lain yang mempunyai ekor sama seperti kekasihku dulunya sebelum kami bersatu. Tapi hairan sekali. Hadirnya seketika cuma. Tidak sempat memilih. Tidak sempat bercinta. Mahluk lain yang mempunyai ekor sama seperti kekasihku dulunya, mememui ajalnya serta merta sebelum sempat bersatu. Akhirnya mereka terkeluar begitu saja. Ah! Sungguh kasihan.

Mereka yang seperti aku dulunya kecewa buat yang entah keberapa kali. Tapi mereka yang seperti aku dulunya tidak pernah derita. Tapi mereka yang seperti aku dulunya tidak pernah merana. Tapi mereka yang seperti aku dulunya juga tidak pernah berputus asa.

Kekuatan semangat mereka yang seperti aku dulunya sungguh mengkagumkan. Kekuatan semangat mereka yang seperti aku dulunya sungguh menakjupkan. Kekuatan semangat mereka yang seperti aku dulunya sungguh membanggakan.

Setelah dua puluh lapan minggu aku menjalani kehidupan baru, kulitku kelihatan berkedut. Aku tidak hairan. Tapi mereka yang seperti aku dulunya hairan. Aku juga diselaputi verniks iaitu benda yang berlilin putih. Dua bola mataku kadang kala terbuka. Aku juga sering bergerak. Aku juga semakin cergas sekarang.

Hari-hari yang kulalui ku isikan dengan amalan. Hari-hari yang kulalu ku penuhi dengan penuntutan. Hari-hari yang kulalui juga kugunakan untuk mengkaji dan mendalami kitab yang dibentangkan. Hari-hari yang kulalui juga, kugunakan untuk menulis perjalanan hidupku. Dan hampir seluruh tubuhku kusimpan pengertian tentang kehidupanku yang pasti akan kuhadapi kelak.

Mereka seperti aku dulunya hanya memerhatikan perubahan demi perubahan. Mereka yang
seperti aku dulunya hanya membiarkan keganjilan demi keganjilan. Mereka yang seperti aku dulunya hanya mampu merehatkan diri mereka masing-masing. Mereka yang seperti aku dulunya tidak kuasa mencampuri urusanku.

Kini beratku beribu kali ganda daripada berat mereka yang seperti aku dulunya. Kini beratku beribu kali ganda daripada berat mahluk yang berekor seperti kekasihku dulunya sebelum kami bersatu. Kini beratku beribu kali ganda daripada berat mahluk yang pertama mencuri hatiku. Juga kini beratku beribu kali ganda daripada berat mereka yang mati dan terkeluar sendiri.

Nampaknya ruang kehidupan lebih banyak dikuasi olehku daripada mereka yang seperti aku dulunya. Marahkah mereka yang seperti aku dulunya? Kesalkah mereka yang seperti aku dulunya? Berdendamkah mereka yang seperti aku dulunya? Persoalan ini sungguh mengusarkan diriku. Pertanyaan ini sungguh merisaukan diriku. Kalau-kalau tindakan luar dugaan terjadi kelak.

Aku menyedari akan masalah ini. Hari-hari kebelakangan ini, aku selalu berfikir. Berfikir tentang masalah ruang yang semakin sempit. Berfikir tentang masalah ruang yang semakin penuh. Berfikir tentang masalah ruang yang semakin habis.

Cita dan impian untuk mencipta sebuah keujudan yang nyata tidak mungkin akan dihancurkah hanyalah kerana masalah ini. Apakah yang harus aku lakukan? Dari hari ke hari aku semakin membesar. Dari hari ke hari beratku semakin bertambah.

Apakah mungkin ruang ini masih mampu menampung aku? Apakah mungkin kejayaanku akan
merosakkan ruang suci ini? Atau apakah mungkin kejayaanku akan menhancurkan ruang suci ini? Ah…! Sungguh membimbangkan.


Aku tidak berdaya memikul bebanan ini. Mereka yang seperti aku dulunya juga tidak mampu memikul bebanan ini mungkin. Apakah dosaku sehingga kejayaan dan ilmu yang kutuntut telah menjadi sebuah bebanan yang amat berat? Apakah silapku sehingga pembaharuan yang dibina telah menjadi sebuah tekanan yang amat kuat?

Antara sedar dan tidak, aku telah tiga puluh sembilan minggu dengan wajah baruku. Jelas sekali impian dan cita sudah hampir menjadi nyata. Tapi aku tidak ingin mengakhiri cita dan impian ini dengan sebuah kehancuran.

Apakah tindakan yang harus aku lakukan? Apakah keputusan bijak yang harus aku ambil?
Kebajikan mereka yang seperti aku dulunya juga perlu dipertahankan. Perasaan mereka yang seperti aku dulunya juga perlu dijaga. Keharmonian mereka yang seperti aku dulunya juga perlu dikekalkan.

Mereka yang seperti aku dulunya sudah puas menanti. Mereka yang seperti aku dulunya sudah puas menunggu. Mereka yang seperti aku dulunya sudah puas kecewa. Meski mereka yang seperti aku dulunya tidak pernah derita. Meski mereka yang seperti aku dulunya tidak pernah merana. Meski mereka yang seperti aku dulunya tidak pernah berputus asa.

Setelah penuntutanku selesai aku mengambil keputusan untuk keluar saja dari ruang yang sempit ini. Setelah amalanku sempurna aku mengambil keputusan untuk meninggalkan saja ruang suci ini.

Demi mereka yang seperti aku dulunya yang tidak berdosa, aku perlu bertindak. Demi mereka yang seperti aku dulunya yang tidak berdosa aku perlu berani. Berani membuat keputusan yang mungkin akan menimbulkan masalah demi masalah yang diluar dugaan. Tapi dengan amalan yang kumiliki, sudah pasti masalah dapat diatasi.

Aku telah menyatakan hasratku kepada mereka yang seperti aku dulunya. Aku telah enyatakan keinginanku kepada mereka yang seperti aku dulunya. Aku telah menyatakan keputusanku kepada mereka yang seperti aku dulunya.

Mereka yang seperti aku dulunya tidak membantah. Mereka yang seperti aku dulunya tidak menghalang. Dan mereka yang seperti aku dulunya juga tidak melarang sama sekali. Mereka yang seperti aku dulunya hanya bersimpati. Mereka yang seperti aku dulunya hanya kasihan. Dan mereka yang seperti aku dulunya hanya terharu. Terharu akan pemergianku yang belum tentu akan membawa kebahagiaan. Terharu akan pemergianku yang belum tentu akan menjamin sebuah keselamatan.

Saat-saat penghijrahan yang dinanti dengan penuh debaran, sudah pun hampir tiba. Saat-saat penghijrahan yang dinanti dengan penuh ketakutan, sudah pun hampir tiba. Saat-saat penghijrahan yang dinanti dengan penuh kebimbangan, sudah pun hampir tiba.

Janji yang kupegang masih lagi dalam gangaman. Aku serba salah. Namun demi mereka yang seperti aku dulunya, akanku tempuhi juga walau mati akan mengundang. Namun demi mereka yang seperti aku dulunya akanku harungi juga walau terpaksa menanggung derita.

Setelah aku mengosongkan fikiran seketika, dan setelah aku bertenang seketika. Aku pun memejam mata dan bersedia untuk menuju perjalanan yang belum pasti akan kesudahannya. Tiba-tiba suasana berubah. Tiba-tiba keadaan berubah. Aku tidak dapat membayangkan bertapa indahnya suasana itu. Aku tidak dapat khayalan bertapa nikmatnya waktu itu. Dan aku tidak dapat mengambarkan bertapa sucinya tempat itu.

Tiupan angin, bahang membara, limpahan air dan lumpuran lumpur melanda tubuhku. Aku masih kuat ketika itu. Aku masih gagah ketika itu. Aku masih kuasa ketika itu. Dalam saat aku rasa dan tidak rasa, aku masih berdaya menggengam janjiku. Janjiku untuk menunaikan tangungjawab yang diberikan kepadaku. Janji untuk menunaikan seruan yang diberikan kepadaku. Agar kenikmatan yang amat nikmat akan dilumuri ke tubuhku satu ketika kelak dihujung waktu.

Setelah pintu hampir terbuka, aku ternampak satu cahaya yang amat ganjil bagiku. Aku berusaha mengejarnya. Dengan amalan yang aku miliki. Aku berjaya mengejarnya. Oh! Cahaya itu terlalu indah. Aku terasa sesuatu yang nyaman sekali.

Tiba-tiba aku terkejut. Suasana sekelip mata saja sudah berubah. Ianya tidak seperti yang kubayangkan dan kuimpikan lagi. Aku kecewa. Aku lemah. Aku tidak sedar gengamanku terbuka. Akhirnya terlepaslah segala pengatahuanku. Akhirnya terlepaslah segala janjiku. Aku menangis. Aku tidak tahu apa-apa lagi.

Tiga april tahun seribu sembilan ratus tujuh puluh satu, tangisan anak kecil memecahkan kesunyian malam di hospital Labuan.



14hb. Dis 1997
Antologi Cerpen Runtuh 2001

10 ulasan:

BENCI + CINTA =BERCINTA berkata...

Salam, memang garapan yang bagus. Tapi,pembaca seperti saya sudah dapat membayangkan apa yang sebenarnya yang Puan maksudkan di pertengahan cerita. Tapi, ayat memang power..

Norgadis Labuan berkata...

@Benci+Cinta=Bercinta. Salam, terima kasih atas komen yang membina itu. Harap dapat mendengar lagi komen-komen saudara terhadap karya-karya yang lain.

mannromeo berkata...

wah…lain sekali cerita ini…

D/P netQueen

Norgadis Labuan berkata...

Hai mannromeo,
Betullah... lain sekali cerita ni hehehe... makasih sudi komen lagi cerpen saya.

HaiDa HiDa berkata...

a'aa lain dari yg lain.. menarik sgt.. tahniah!!!

Norgadis Labuan berkata...

Hai Haida...
cerita ni memang lain dpd yang lain... kadang2 membosankan kerana penggunaan perkataan yg sama. Tapi kisah janin dlm kandungan ibu tu, sebenarnya amat sukar utk saya gambarkan, sehingga cerita ini saya olah dgn gaya bahasa yg agak sedikit pelik...

HaiDa HiDa berkata...

ok la tu pndai olah.. nnti post lg la yg lain dari yg lain..

Norgadis Labuan berkata...

Salam Haida,
Hahaha..! Nak buat yang lain dari yang lain? Itu yang payah tu...
Nak tunggu cerpen Haida yang baru pula...

HaiDa-HiDa berkata...

wsalam..
cerpen baru ke?? xder lah sbb skank xder idea.. tpi yg lama2 adalah.. tak pernah publish kt mne2 pn lgi.. tpi kne taip dlu sbb softcopy dh ilang..

Norgadis Labuan berkata...

Haida... yang lama pun tak apa ... janji ada nak di baca....hehehe...