TUMBANGNYA SI PULAI

KARYA: NORGADIS LABUAN

“Apakah tempat ini akan menjanjikan kebahagian hidup?” Pulai bermonolog sendiri. Kampung Damai adalah sebuah kampung yang indah dan bersih udaranya. Ianya didiami oleh Pulai, Nyiur, Meranti dan Jati. Mereka hidup aman dan gembira di kampung tersebut. Kelihatan beburung berterbangan riang di awangan. Kelihatan juga ikan berenang-renang di dalam sungai dan kadang kala melompat keluar ke permukaan air.

Pada waktu itu juga, Pulai suka mengusik Meranti yang hampir seusia dengannya. Pulai selalu melambai-lambai Meranti. Meranti tersenyum riang melihat telatah Pulai, Meranti akan menghadiahkan senyuman kepada Pulai. Jika angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, Meranti akan menari-nari riang. Pulai dan Meranti juga selalu melihat Jati mengintai Nyiur yang berkasi-kasihan. Kini anak Nyiur sudah besar tapi sayang isterinya lebih awal meninggalkannya.

Pulai adalah penghuni pertama mendiami kampung Damai. Disebabkan tanahnya yang baik dan subur, maka Pulai terus menetap dan tidak bercadang untuk pindah dari kawasan itu. Oleh sebab Pulai adalah penghuni pertama di kampung itu, dia dianggap sebagai ketua kepada semua penghuni yang tinggal di situ.

Setelah beberapa lamanya, kampung tersebut pun didatangi oleh penghuni-penghuni yang lain, Pulai amat gembira dan mengalu-alukan kedatangan mereka. Maka bertambahlah lagi sahabat-sahabat baru pulai.

Pulai sering memberi bantuan kepada sesiapa saja yang dalam kesusahan, Pulai dianggap sebagai pembantu dan penyelamat kepada penghuni kampung tersebut. Pulai amat dihormati dan disegani.

Pada suatu hari, kampung Damai didatangi pula oleh makhluk yang tidak diketahui asal usul mereka. Mereka telah banyak menghancur dan memusnahkan kebahagian yang dikecapi oleh penghuni kampung tersebut. Telah banyak juga penghuni kampung itu yang tumbang dan mati akibat perbuatan jahat mereka itu.

“Bunyi apa pula tu, ya Allah, bencana lagi, siapakah yang manjadi mangsa kali ini,” kata Pulai.

Hidupnya penuh kebimbangan sejak kebelakangan ini. Apakah nasib menyebelahi mereka atau memang sudah tersurat hidup mereka terhimpit begitu. Kejadian ini sungguh mengharukan hati Pulai dan kawan-kawannya.

Nampaknya senja kian berlalu, bunyi jeritan penghuni kampung Damai yang ditumpaskan tadi telah hilang. Hanya kedengaran tangisan kesedihan anak-anak dan saudara mangsa kekejaman.

Malam semakin pekat, tiada taburan bebintang seperti hari-hari yang lalu. Tiada angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tiada sinaran sang bulan yang dirindukan pungguk. Malah pungguk sendiri pun takut hendak berlagu. Bagaikan mereka juga turut bersedih akan nasib yang menimpa penghuni kampung tersebut.

“Pulai! Kawan kita dah mati,” Nyiur melambai-malambai disebalik kepekatan malam.

“Siapa Nyiur?” Pulai ingin tahu.

“Meranti…,” kata Nyiur.

Pulai terkejut mendengar berita itu, sebenarnya Pulai amat menyintai Meranti kekasihnya itu, tapi nampaknya Meranti lebih dahulu meninggalkan Pulai. Ingin rasa hati Pulai untuk mematah-matahkan saja tulang si penjahat yang membunuh Meranti, namun setakat mana kemampuan Pulai.

“Meranti , kenapakah kau meninggalkan aku,” Pulai tidak dapat menahan sebak.

“Sabarlah Pulai, kita ni mentimun mereka tu durian, kalau digolek kita akan hancur, kalau kita yang mengolek kita juga yang binasa,” kata Nyiur .

“Mereka memang tidak mempunyai perasaan, mudah-mudahan apa yang mereka lakukan ini akan mendapat balasannya jua, tuhan itu adil Pulai,” Nyiur cuba memberi semangat kepada Pulai.

Pulai tahu Nyiur memang penyabar, walaupun isterinya telah mati akibat perbuatan si penjahat durjana itu, tapi Nyiur masih mampu bersabar.

“Ah! Aku benci pembangunan, aku benci pembaharuan dan aku benci kemodenan yang sering menghancurkan kebahagiaan hidup ini. Tidakkah mereka terfikir bahawa mereka telah menghancurkan kebahagiaan mereka juga,” Pulai kesal.

“Pulai, apa yang patut kita lakukan, nampaknya mereka ni dah berlebih,” Jati memandang tepat ke arah Pulai.

“Aku pun tidak tahu Jati, aku bingung sekarang,” Pulai tunduk kesedihan, telah lama Pulai hidup tapi Pulai tidak pernah sesedih itu.

“Sabarlah Jati, Pulai, tuhan bersama kita, tadi aku dengar ada orang yang cuba menyebelahi kita, sekurang-kurangnya kita masih ada kawan untuk terus berjuang.” Kata Nyiur penuh yakin.

“Apa benar kata kau ini Nyiur? Dari mana kau dengar berita ini, ah! Aku bagai tidak percaya” Pulai masih kebingungan.

“Aku dengar ada orang yang mahu memperjuangkan tempat kita ini, aku harap orang itu akan berjaya, kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi Pulai, kita hanya perlu tunggu dan lihat saja,” kata Nyiur.

Apakah benar ada orang yang mahu menolong, semakin berkecamuk pulai memikirkannya. Banyakkah orang yang mahu memperjuangkan tempat ini, atau hanya dua tiga orang sahaja. Kalaulah hanya sebilangan kecil, tentu perjuangan ini tidak kemana.
“Apakah cadanganmu Pulai, takkanlah sampai kami mati baru kau nak bertindak", suara Jati sedikit meninggi.

“Jangan cakap macam itu Jati, walaupun aku lebih tua dari kamu, tapi apa yang aku boleh buat, aku tidak berkuasa melawan mereka, atau kau mahu melihat aku mati seperti Meranti kekasihku itu. Aku tidak perduli itu semua, walupun nyawa ku melayang sekalipun, akan ku perjuangkan juga tempat ini, tapi bagaimana?” kata Pulai. Jati dan Nyiur cukup terharu mendengar kata-kata Pulai yang bagaikan telah putus asa itu.

“Aku mengerti perasaan kamu berdua, Jati, pergilah kau tidur dan Nyiur pergilah kau jaga anak-anakmu, nampaknya hujan dah mula turun, aku bimbang akan hanyut pula anak-anakmu nanti.,” kata Pulai perlahan.

Hujan semakin lebat, guruh berdentum dentum, manakala kilat pancar memancar.
Ganjil sungguh malam itu. Kelihatan air sungai melimpah ruah, tidak pernah kejadian seburuk itu terjadi selama hidup Pulai. Bertambah bimbanglah Pulai apabila melihat keadan yang semakin buruk.

“Tolong….tolong….. banjir…..lari…cepat lari….,” kedengaran suara teriak manusia yang tinggal di hujung kampung Damai. Kasihan mereka, habis rumah mereka ditenggelami air. Ada anak-anak mereka yang dihanyutkan air dan ada juga yang sempat bergayut pada papan-papan serpihan rumah yang telah pecah.

Pulai tidak dapat tidur malam itu, kejadian demi kejadian yang amat mengeri dan menyayat hati itu menyebabkan hilangnya rasa mengantuk. Betul juga kata Nyiur, tuhan itu maha adil, belum lama pun si penjahat itu membuat onar, sudah nampak jelas akan pembalasan yang tuhan tunjukkan.

Nampaknya hujan pun mulai reda, kelihatan sang mentari cuba memancarkan sinar paginya. Semoga sinar sang mentari akan membawa sinar bahagia buat penghuni kampung Damai, itulah yang diharap-harapkan oleh Pulai.

Kelihatan di sana Nyiur sibuk meguruskan anak-anaknya yang kecil, nasibnya baik sedikit, anak-anaknya yang besar sudah pandai mengurus diri masing-masing. Manakala Jati kelihatannya seperti keletihan, tentu Jati pun tidak dapat tidur semalaman seperti Pulai.

Nun jauh di hujung sana, nampak jelas kemusnahan yang berlaku semalam. Tiada satu rumah pun yang tinggal. Kesemuanya telah hancur dibawa arus yang deras. Samada ada yang sempat menyelamatkan diri atau tidak, itu semua tidak dapat dijangkakan. Benar-benar kejadian pada malam itu adalah satu bala yang terpaksa mereka tanggung.

“Awal kau bangun hari ini Pulai, kau tengokkah kejadian yang mengerunkan semalam, habis rumah manusia-manusia itu hancur. Sungguh mengerikan, nasib baik tempat kita ini tinggi kalau tidak sudah tentu kita akan menerima nasib yang sama,” Jati memulakan bicara pada pagi itu.

“Semalam aku tidak dapat tidur Jati, kejadian semalam telah menghilangkan rasa mengantukku, satu-satu rumah yang hancur dan dihanyutkan oleh air yang deras itu kuperhatikan. Banyak penghuni yang terperangkap didalam rumah mereka. Apa yang amat memilukan, kanak-kanak yang tidak berdosa pun terkorban sama,” Pulai masih lagi mengenangkan kejadian buruk yang berlaku semalam.

Pulai…., Jati….., orang jahanam itu datang lagi,” Pulai dan Jati terkejut akan jeritan Nyiur itu. Kelihatan orang-orang yang mencemarkan kampung Damai semakin menghampiri Pulai.

“Hati-hati Pulai, mereka menghampirimu,” kendengaran lagi jeritan Nyiur dari sebelah kiri Pulai. Nyiur dan Jati semakin bimbang. Mereka bimbang kalau-kalau Pulai pula yang akan menjadi korban manusia tidak berhati perut itu.

“Pulai..! lari Pulai, mereka semakin hampir tu,” Jati ketakutan.

“Aku tak akan lari, aku akan tunggu mereka, sekiranya aku mati hari ini, akan ku matikan juga mereka hari ini,” Pulai bersemangat. Pulai sedikit pun tidak berganjak dari situ.

Manusia-manusia itu semakin mendekati Pulai. Jati dan Nyiur takut melihatnya, mereka takut akan kehilangan Pulai yang terlalu banyak menolong mereka selama ini. Manusia-manusia yang kejam itu telah menghunjamkan mata gergaji atomatik dikulit Pulai.

Mereka mengambil sedikit masa saja untuk mencederakan Pulai. Tidak beberapa lama kemudian terdengarlah jeritan terakhir Pulai yang menyayat hati diseluruh Kampung Damai. Jeritannya amat memilukan semua penghuni kampung tersebut.

Akhirnya Pulai tumbang menyembah bumi dan tanpa disangka-sangka badan Pulai yang besar itu berjaya menghempap manusia yang membinasakannya. Itulah balasan untuk manusia-manusia yang tidak memikirkan kebahagiaan mahkluk lain.

Jati, Nyiur dan pokok-pokok yang lain terharu melihat kejadian yang menyedihkan itu. Tapi apakan daya, mereka semuanya makhluk yang lemah, mereka tidak berdaya untuk melawan. Apa yang dapat mereka lakukan hanyalah tunggu dan lihat sahaja.

Setelah beberapa tahun berlalu, kehidupan penghuni kampung Damai telah berubah, mereka tidak lagi hidup dalam ketakutan. Kampung Damai telah dijadikan hutan simpan, pembalakan dan pemusnahan tumbuhan di kampung Damai telah diharamkan oleh kerajaan.

“Kenapa kau menangis Jati, bukankah kita sudah selamat sekarang, hidup kita sekarang tidak lagi diseliputi debaran dan ketakutan,” Nyiur melenyapkan semua lamunan nyeri Jati.

“Aku terkenangkan Pulai, dia berjuang untuk kita dan tumbangnya si Pulai telah membawa kebahagiaan yang amat berharga untuk kita semua. Sayang sekali, kebahagiaan yang kita miliki sekarang tidak dapat dirasai bersama oleh si Pulai dan kekasihnya Meranti,” Jati tertunduk pilu.

“Kau bagaimana Nyiur, tidakkah ada terlintas dihati nak berkahwin lagi?” Jati mengusik.

“Ada-ada sajalah kau ni Jati, kau sendiri pun belum berkahwin, aku ni lainlah, sudah tua, anak-anakku pun sudah besar, biarlah aku begini, apa yang penting aku mahu melihat anak-anakku hidup aman dan gembira, sekurang-kurangnya aku terasa puas bila aku mati nanti,” kata Nyiur tersenyum.

Jati juga turut tersenyum, dihatinya berkata, “semoga keindahan ini dapat dijaga bersama, agar masih ada lagi kehijauan yang menemani makhluk di muka bumi ini dan tumbangnya si Pulai adalah satu kejayaan yang tidak dapat dilupakan.”

TAMAT

PENGHARGAAN PERTAMA PERTANDINGAN MENULIS CERPEN ANJURAN PERWILA DAN PETRONAS LABUAN 1998.

Tiada ulasan: