PABILA HATI DIJAJAH

Karya : Norgadis Labuan

Sekali imbas, sayur-sayuran hijau yang subur itu bagaikan wang yang bertaburan. Sayur kangkung, cangkuk manis, terung, timun, kacang panjang, serai, peria dan termasuklah ulam-ulaman. Aku juga menanam keledek, ubi kayu, tebu dan jagung pulut. Nun di hujung sana, terdapat pokok-pokok getah yang sudah siap untuk ditoreh. Itulah kerja abang Mat setiap hari. Semuanya mendatangkan hasil untuk keluarga. Tidak sia-sia kalau berbudi dengan tanah.

Petang itu, disaat aku asyik menyiram kebun di belakang rumahku, tiba-tiba saja aku terdengar orang memberi salam. Salamnya segera kusahut.

"Eh Said, Apa hal tergopoh gapah ni?"

"Kak! Abang Mat. Abang Mat, kak…" kelihatan Said seperti orang yang serba salah. Aku bingung dibuatnya.

"Apa hal pula dengan abang Mat. Abang Mat belum balik lagi dari surau,"

"Aku dengar orang-orang Jepun tu, cakap pasal abang Mat, aku harap kakak dapat beritahu abang Mat supaya berhati-hati,"

"Yalah," jawabku ringkas. Said terus berlalu sambil dua tiga kali menoleh ke arahku. Aku sebenarnya tidak mengerti, apakah yang membuatnya seperti orang yang tidak pernah kukenali. Apa yang kutahu, adik lelakiku itu adalah seorang periang dan tidak pernah bermasalah. Tapi apa pula kaitannya dengan abang Mat.

Tidak beberapa lama selepas Said berlalu, tiba pula tiga orang Jepun. Salah seorang daripada mereka bernama Yokohawa yang merupakan pembantu kepada Jeneral Jepun yang baru datang ke Pulau Labuan. Manakala yang dua orang lagi, langsung tidakku kenali.

"Ini isteri Ahmad?" Yokohawa bertanya tanpa memperkenalkan dirinya terlebih dahulu.

"Ya saya. Ada apa tuan? Nak jumpa abang Mat ya? Dia belum balik lagi dari surau," terperanjat juga aku dengan kedatangan orang Jepun tersebut. Selalunya jika dia mencari seseorang, pasti akan menimbulkan satu masalah besar.

"Saya Yokohawa. Awak kenal saya?" Aku mengangguk.

"Bila Ahmad balik rumah?"

"Selalunya abang Ahmad balik rumah waktu petang begini. Ada apa sebenarnya tuan?" tanyaku ingin tahu.

"Beritahu Ahmad, saya datang sini nanti malam. Katakan kepada Ahmad, saya nak cakap-cakap sama dia," biarpun suara itu agak tenang bunyinya, tapi apabila seorang tentera Jepun ingin berjumpa, tentu ada hal lain yang amat penting. Kecualilah kalau penolong Jeneral Jepun itu adalah kawan baik abang Mat. Atau abang Mat adalah tali barut mereka. Apa yang aku tahu, abang Mat bukan orang seperti itu.

"Nanti saya datang lagi," perbualan kami sampai di situ saja. Dia terus berlalu bersama dua orang pengiringnya. Kegelisahan mula menghantui diriku. Apakah sebenarnya akan berlaku. Kedatangan penolong Jeneral Jepun tadi benar-benar mengganggu emosiku. Ya Allah, cukuplah dugaan yang telah kau turunkan kepada negeriku. Janganlah ada dugaan baru yang tak mampu kuhadapi.

Saat-saat menanti kepulangan abang Mat, ianya terlalu menyakitkan rasanya. Setiap nafas yang kusedut dan kuhembuskan pasti amat mendebarkan. Darah gelisahanku mula mengalir keseluruh tubuhku. Angin yang bertiup kurasakan wap panas yang memeluk tubuhku. Peluh sedari tadi tidak henti-henti mengalir.

"Abang…!" Degup jantungku semakin kencang. Kelihatan suami kesayanganku telah pun pulang dan berada di ambang pintu pagar. Aku segera berlari dan memeluknya.

"Abang…" Abang Mat merenungku. Kelihatan ketenangan bersinar di raut wajahnya.

"Orang Jepun tu nak jumpa Abang?," Abang Mat bertanya, aku mengangguk.

"Abang mandi dulu, kalau dia datang suruh dia naik ke rumah," sedikitpun tiada arus kebimbangan di wajahnya. Abang Mat kelihatan tenang saja menaiki anak-anak tangga rumah kecil kami. Setelah menghabiskan air kosong yang aku berikan, Abang Mat terus mencapai kain dan baldi untuk dibawa ke telaga yang tidak jauh dari rumah.

Malam itu suasana agak muram. Sebutir bebintang pun tidak sudi berkerdip. Malah rembulan pun malu menglihatkan dirinya. Sementara menanti kedatangan tetamu yang cukup mengusarkan itu, aku terus membancuh kopi untuk dijadikan hidangan apabila tetamu yang ditunggu tersebut tiba.

Azan maghrib di surau sudah lama berlalu. Malam itu nampaknya abang Mat tidak berjemaah di surau seperti selalu. Setelah siap membaca wirid selepas sembahyang, abang Mat pun keluar dari bilik dan duduk disebelahku.

"Kenapa dia nak datang ke rumah kita ya, abang?" tanyaku.

"Entahlah. Abang sendiri pun tak tahu, selalunya kalau orang Jepun nak datang, mesti ada hal penting. Walaupun dia kata nak cakap-cakap, tapi boleh percayakah orang macam tu? Buat apa dia buang masa nak sembang-sembang dengan abang. Ini mesti ada hal lain." Sedar tak sedar, tiba-tiba kedengaran suara azan Isyak berkumandang. kami segera menunaikan sembahyang Isyak berjemaah.

Malam semakin larut. Sana sini kedengaran bunyi cengkerik malam. Apakah mereka sedang berdendang lagu atau berzikir menyerah diri kepada Allah yang satu. Siapakah yang
akan perduli.

Nampaknya aku dan abang Mat masih lagi di ruang tengah rumah menanti kehadiran tetamu yang tidak menepati masa itu. Bagiku penantian itu amat membosankan. Tetamu yang ditunggu tidak juga kunjung tiba. Kedua-dua cahaya mataku sudah lama lena. Tapi aku dan abang Mat masih lagi menanti tetamu yang tidak kunjung tiba. Air kopi yang kubancuh tadi, sudah pun sejuk.

"Abang tak mengantuk? Sudah lewat malam ni,"

"Tak Leha, menunggu kehadiran orang asing seperti ini, sudah cukup untuk menghilangkan rasa mengantuk abang. Leha mengantuk? Kalau Leha mengantuk pergilah tidur dulu," kata Abang sambil menggenggam jari-jemariku.

"Leha akan temankan abang. Abang! air yang Leha bancuh tadi sudah sejuk, nanti Leha bancuh yang baru ya bang,"

"Tak payahah Leha. Abang rasa, mungkin dia tak jadi datang malam ni," Aku terus merebahkan kepalaku di pangkuan abang Mat. Abang Mat mengusap lembut rambut panjangku.

"Mungkin dia ada urusan penting, itulah dia tak jadi datang ke sini," Abang hanya tersenyum sambil merenungku.

Tetamu yang ditunggu benar-benar tidak kunjung tiba. Aku tidak sedar, sudah berapa lama aku terlena dipangkuan suamiku. Abang Mat mengejutkanku.

"Leha, Pergilah Leha tidur dibilik, di sini banyak nyamuk," Aku terjaga dan segera bingkas dari pembaringan.

"Abang tidur sama?" tanyaku ringkas. Abang Mat mengangguk.

Bagaikan tidak puas melayani cerita mimpi, tiba-tiba fajar subuh mula menyingsing. Kedinginan menerpa ke tubuh apabila jendela kubuka luas. Angin lembut pembuka rezeki kusedut puas. Nyaman menusuk kekalbu bagi orang yang mengerti. Seperti biasanya kami akan sembahyang subuh berjemaah. Setelah itu abang pergi ke kebun getahnya. Manakala aku akan menjalankan tugas sebagai surirumah seperti biasa.

"Ah…!" aku mengeluh. Sebenarnya, aku gelisah mengenangkan pekara semalam. Aku takut kalau orang Jepun itu pergi mencari abang Mat di kebun getahnya. Aku takut perkara yang tidak diingini akan terjadi.

Selesai saja aku membasuh kain di telaga, tiba-tiba kelihatan kelibat Said.

"Said…! Kau nak ke mana tu?"

"Ada hal penting kak. Abang Mat…abang Mat kak "

"Kenapa dengan abang Mat kau Said?" aku kebingungan.


"Ya Allah, apakah ujian yang akan kau turunkan kepada keluargaku. Cukuplah apa yang telah kau uji selama ini." Menitis air mataku ketika itu.

Pagi itu aku benar-benar rasa gelisah, kegelisahanku semalam nampaknya bertandang kembali. Tiap saat menanti berita dari abang Mat penuh dengan ketakutan. Apakah yang akan mereka lakukan terhadap suamiku itu.

"Abang di tangkap Jepun," Ya Allah, ini adalah berita yang memeranjatkan dan memedihkan.

"Tapi kenapa Said… Tapi kenapa?" Aku menangis. Aku benar-benar menangis.

"Abang dianggap sebagai pengintip Jepun," aku tidak dapat berkata-kata. Air mataku tidak dapat kubendung lagi, laju menuruni pipiku. Aku belari menuju rumahku dan terus mendapatkan kedua-dua anakku. Tangisanku tidak dapat kuhentikan lagi. Kalau boleh aku ingin menangis semahu-mahunya.

Dengan perasaan yang amat pedih itu, kulihat Said dan ibu mertuaku yang sedari tadi sudah berada di rumahku juga turut menitiskan air mata. Ibu mertuaku yang sudah separuh abad usianya itu terus memelukku.

"Kenapa anakku ditangkap, anakku tak bersalah, anakku tak bersalah," rantap ibu mertuaku. Setelah pelukannya direnggangkan, anak-anakku menjadi sasaran pelukannya pula. Pada waktu itu tangisan hiba benar-benar tidak dapat dielakan lagi. Aku lemah, aku rasakan itulah dugaan yang terlalu berat untukku terima. Rumahku ketika itu diselubungi dengan suara tangisan. Tangisan yang sukar dimengertikan. Tidak lama selepas itu, kakak Mariam pula yang datang. Dia menghampiriku dan memelukku erat.

"Sabarlah Leha," bisiknya.

"Kenapa kau ditangkap Ahmad, kenapa kau ditangkap, kau tak bersalah nak, kau tak bersalah," Mengenangkan nasib yang akan menimpa abang Mat, tiba-tiba ibu mertuaku jatuh pengsan. Suasana menjadi kelam kabut. Aku tidak tahu apa yang harusku buat. Dan akhirnya aku tidak sedar lagi…

Hari itu, adalah hari untuk aku dan keluarga menemuinya. Pagi-pagi lagi aku dan keluarga sudah bangun dan bersiap untuk meninggalkan rumah Mak Usu yang tinggal di kampung Petagas, Kota Kinabalu. Dari Petagas kami berangkat dan singgah sebentar di salah sebuah kedai kopi di Putatan untuk minun pagi. Setelah selesai menikmati hidangan pagi, aku mengambil kesempatan membeli buah-buahan sebagai buah tangan.

Kira-kira jam sembilan lima belas pagi, aku dan keluarga sudah pun sampai di Kepayan. Rasa-rasanya bagai aku tidak dapat sabar lagi untuk menatap wajah orang kesayanganku itu.

Setiba dihalaman rumahnya, aku memberi salam dan cuba memanggil-manggil. Tiada sahutan. Pintu rumah terkuak luas. Aku masuk. Setiap sudut rumah itu kuperiksa dengan teliti. Namun dia gagal ditemui.

Masyallah, aku hampir kecewa menghadapi keadaan itu. Mama dan abah mula gelisah. Jam ditanganku sudah menunjukkan pukul sepuluh pagi. Aku masih lagi belum menemuinya. Mama, abah dan aku mencari-carinya di sekitar kawasan belakang rumah pula. Syukur Alhamdulillah, usaha mencari membawa kejayaan. Namun jawapan darinya amat mengecewakan.

"Kenapa nek?" tanyaku.

"Nenek sudah biasa tinggal di sini, rasanya nenek malas nak pindah ke Labuan," kedengaran suara tua nenek Leha.

"Nek, dulu nenek tinggal dengan Mak Usu, sekarang nenek tinggal seorang. Kalau nenek tinggal dengan kami, tentu nenek tak kesunyian. Ibu dah sediakan bilik untuk nenek. Nenek jangan bimbang, kalau nenek nak Ani temankan, Ani sudi temankan nenek bila-bila masa."

Setelah tiga hari tinggal di rumah nenek Leha, kami pun bersedia untuk berangkat pulang ke Labuan. Dari Kepayan, kami ke pasar besar Kota Kinabalu. Dalam perjalanan dari Kota kinabalu, sekali lagi kami melintasi daerah Kepayan. Saat itu air mata nenek Leha semakin deras mengalir. Aku terharu dibuatnya. Sehingga sampai di Pekan Papar, tangisan nenek Leha masih belum reda. Aku tidak mengerti kenapa. Apakah sekembali nenek Leha ke Labuan, akan mengimbas kembali kenangan silam yang menyebabkannya berhijrah ke tanah besar Sabah.

Setelah sebulan berada di Labuan, nenek kelihatannya dapat menyesuaikan diri. Kesedihannya nampaknya sudah jauh ditinggalkan. Apa yang menjadi kesukaan nenek ialah menikmati keindahan pokok-pokok bunga tanaman mama. Pagi-pagi lagi nenek pasti akan berada dihalaman rumah melihat bunga-bunga yang berkembangan mekar.

Pagi itu aku dan mama bersembang-sembang di ruang tamu Masing-masing mempunyai pendapat tersendiri tentang Labuan yang akan menjadi Wilayah Persekutuan tidak lama lagi. Cerita sensasi itu bukan saja dibualkan oleh kami, malah di kedai kopi, di surau, dipejabat-pejabat dan dimana-mana pun ianya menjadi bualan terhangat pada ketika itu.

Era perubahan diantara pentadbiran Sabah ke pentadbiran Semenanjung akan dirasai oleh semua penduduk Labuan. Cadangan baik kerajaan itu tidak semua disokong oleh penduduk tempatan. Malah banyak saja kemungkinan-kemungkinan dan kebimbangan yang ditimbulkan oleh penduduk setempat.

"Mama bimbang kalau Labuan sudah jadi Wilayah, tentu banyak orang semenanjung datang ke sini. Susahlah anak-anak kita mendapat kerja. Kalau dapat pun mungkin hanya kerani-kerani biasa."

"Tak semestinya begitu mama, Ani kira, siapa yang mempunyai kelulusan, itulah yang terpilih untuk menjawat jawatan yang tinggi. Tak kiralah orang Semenanjung atau orang Labuan, apa yang penting kita sama-sama orang Malaysia."

"Apa yang dibincangkan tu, riuh rendah kedengarannya dari luar," nenek tiba-tiba saja berada di ambang pintu. Entah sejak bila dia berada disitu, kami langsung tidak menyedari.

"Inilah mak, pasal Labuan akan dijual kepada semenanjung,"

"Siapa yang jual Labuan, Munah?" kelihatan raut wajah tua nenek Leha bagaikan laut yang bergelora. Mungkin ada yang meniup angin taufan didalan semudera hatinya.

"Wakil rakyat kita tulah mak,"

"Bukan dijuallah mama, nenek," aku menyampuk.

"Habis, kalau bukan dijual, apalah ertinya tu," kelihatannya mama seperti tidak puas hati.

"Labuan cuma akan dibawah pentadbiran Semenanjung. Tak lagi melalui Sabah. Peruntukan untuk penduduk Labuan, terus disalurkan ke sini. Bukankah itu satu jalan yang baik," kataku.

"Samalah ertinya itu cu, macam dijajah juga. Kalau dulu zaman Jepun, kita dijajah oleh Jepun. Kau tak tahu cu, atuk pernah ditangkap Jepun dulu. Kau masih mentah, kau tak mengerti erti penjajahan. Nenek cukup menderita kerananya. Waktu itu mamamu dan mak
usu Maimun masih kecil lagi." Nenek menggeleng kepala.

"Nampaknya sejarah berulang lagi. Kalau dulu dijajah oleh orang asing, tapi sekarang ni, kita akan dijajah oleh bangsa kita sendiri. Nenek takut, bukan saja kita yang dijajah, tapi hati dan fikiran kita juga akan dijajah. Waktu itu kita tak akan tenang lagi," nenek Leha menggeleng kepalanya lagi dan terus berlalu ke kamar tidurnya. Bagaikan ada satu memori
yang memilukan yang ditanggung oleh nenek Leha sehingga tidak dapat dilupakan sampai kesaat ini.

* * *

Nampaknya bahang mentari kian terasa. Waktu zohor sudah lama masuk, namun sekarang tidak lagi kedengaran azan yang dilaungkan oleh abang Mat. Sebulan berlalu, aku tetap setia menanti suami kesayanganku itu. Walaupun banyak cerita orang yang mengatakan suamiku pasti sudah dipancung Jepun, namun kasih sayangku terhadap suamiku tetap menjadi penghalang untukku terus berputus asa.

Sejak kepergian abang Mat, ibu mertuaku kerap kali jatuh sakit. Pemergian abang Mat benar-benar merobek perasaannya. Aku tahu dia kecewa. Ibu mana yang tidak kecewa, apabila anaknya yang dididik sempurna ditangkap tanpa alasan yang kukuh. Akhirnya ibu mertuaku pergi sebelum sempat bertemu anak bungsunya itu.

Suatu hari, tiba-tiba pintu rumah diketuk orang dan kedengaran suara memberi salam. Rasanya suara itu amat kukenali. Suara itulah yang kurindui selama ini dan suara itulah yang kunanti selama ini. Hatiku berdebar. Pintu yang tertutup rapat kubuka perlahan-lahan. Bagaikan aku tidak percaya, lelaki yang berada dihadapanku adalah abang Mat suami kesayanganku yang pernah ditangkap Jepun.

Ya Allah, kelihatan wajah cengkung dan tubuh badan abang Mat yang kurus di ambang pintu. Kulihat matanya masih memiliki sinar ketenangan meskipun kelopak matanya bergenang air jernih. Aku segera memeluk suami kesayanganku itu. Abang Mat mengeratkan pelukannya terhadapku. Saat itulah yang membuatkan aku bertambah terharu. Bertapa menderitanya abang Mat menanggung beban fitnah sendirian tanpa aku disisinya selama ini.

Kulihat bagai tidak puas-puas abang Mat mencium Maimunah dan Maimun yang sedang lena berselimutkan kain batik. Kedua-dua anakku yang terjaga dari lenanya terus menangis ketika itu. Aku sukar meramalkan apakah maksud tangisan anak-anakku itu.

"Bagaimana dengan mak Leha?" Abang Mat merenungku dengan harapan agar aku segera menjawab soalannya. Namun soalan itu adalah soalan yang amat sukar untuk dijawab.

"Abang," kata-kataku terhenti disitu. Suaraku bagai tidak dapat keluar lagi kerana menahan tangis. Kurasakan pelukan abang Mat semakin kuat bersama esak tangisku.

"Mak… mak… dah meninggal bang," kataku dengan nada yang sedih.

"Inalillah… mudah-mudahan mak akan ditempatkan dengan orang-orang yang beriman," tiada siapa yang dapat melawan hukum tuhan. Hakikat itu terpaksa abang Mat terima dengan hati yang tabah.

Menurut cerita abang Mat, waktu dia ditangkap Jepun, macam-macam soalan yang mereka ajukan. Mereka tuduh abang sebagai pengintip.

"Abang sebenarnya tidak tahu menahu hal itu, abang dipersalahkan kerana fitnah bangsa kita sendiri yang belot berhadap agama dan bangsa," aku adalah pendengar setia ketika itu. Apa yang abang Mat luahkan, pasti akan kudengar dengan penuh rasa terharu.

"Berdoalah Leha, semoga kita tidak akan diduga dengan dugaan berat seperti ini lagi. Mudah-mudahan doa kita akan dimakbulkan, amin…" aku mengangguk sambil mengesat air mata yang membasahi pipi.

"Baiklah abang pergi berehat, abang tentu penat, sama-samalah kita lupakan kenangan pahit itu."

Aku mengadakan kenduri kesyukuran selepas dua hari abang Mat pulang. Saudara-mara dan orang kampung ramai yang datang menziarahi abang Mat untuk bertanya khabar. Keriangan diwajah mereka jelas terpancar.

Sudah sebulan abang Mat kembali kepangkuan keluarga, namun pagi itu nampak sepi, Selalunya orang-orang kampung kebanyakannya pergi menoreh getah dan pergi ke sawah.

Aku melihat langit mula mendung, tidak beberapa lama kemudian, hujan pun turun membasahi halaman rumahku. Aku yang sedari tadi asyik melihat halaman yang selama ini sudah tidakku indahkan, segera menutup jendela agar hujan tidak tempias masuk kedalam rumah kecilku.

'Ya Allah! Janganlah kau pisahkan aku dan suamiku lagi,' kotak hatiku tidak dapat melupakan kenangan pahit itu sebenarnya.

"Leha, esok kita akan berhijrah ke tanah besar, mudah-mudahan di sana kita akan dapat melupakan kenangan yang memilukan ini," aku hanya menerimacadangan abang Mat tanpa bantahan sedikit pun. Di situlah mulanya kami berhijrah ke tanah besar dan memulakan penghidupan baru bersama anak-anak.

* * *

Apabila malam menjelang, setelah pintu kamar kukuak, tiba-tiba saja, tubuhku semakin lemah, nafasku tersekat-sekat, badanku gementar, jantungku berdegup kuat dan seluruh jasadku mula terasa kebas-kebas. Pandangan mataku mula berpinar. Air mataku jatuh satu persatu. Aku terbaring di lantai semen sudut katil nenek Leha. Aku lemah ketika itu. 'Apakah yang harusku lakukan?' Itulah kata-kata yang bermain didalam fikiranku. Aku memaksa diriku untuk bingkas dan duduk di samping tubuh tua nenek Leha. Aku menadah tangan bersama deraian airmata….

"Ya Allah, panjangkan umur nenek Leha.”

"Ya Allah, kaulah yang berkuasa dan tidak ada yang berkuasa selain dirimu di dunia ini ya Allah. Bebaskan nenek Leha dari derita yang ditanggungnya. Kau tunjukkanlah dia jalan yang benar. Kasihanilah dia ya Allah. Andainya aku terpaksa berpisah dengan nenek, kau tempatkanlah dia bersama-sama orang yang bertakwa dan kau kuatkanlah imanku ya Allah."

Mama dan abah tergamam. Nenek kesayanganku akhirnya pergi juga, pergi bersama hati yang telah dijajah. Aku menjadi lemah dan aku kecewa kerana tidak sempat membuktikan kepada nenek Leha bahawa Labuan pasti maju setelah bergelar Wilayah.

"Nenek, andainya kau masih hidup. Pasti kau dapat melihat ujudnya universiti, bank luar persisir dan hotel lima bintang disaat Pulau Labuan bergelar Wilayah Persekutuan Labuan," bisik hatiku setelah selesai menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran ketika menziarahi kubur nenek Leha di Tanah Perkuburan Lorong Tujuh, kampung Layang-Layangan, Wilayah Persekutuan Labuan.



TAMAT..
07.10.2001 (10:52 pagi)
(Saguhati Peraduan Menulis Cerpen 2007)
ANTOLOGI PUIS/CERPEN DITEL VI 2008 – LAMBAIAN TELUK

2 ulasan:

Shadow berkata...

ouh .cerita yang menarik :)

Norgadis berkata...

Utk Oh Nina.
Terima kasih kerana sudi membaca hasil karya saya